Tuesday, March 12, 2019

Kesan Panas Melampau Akibat Perubahan Cuaca

Kesan Panas Melampau Akibat Perubahan Cuaca

Antara kesan kepanasan yang mungkin akan timbul termasuklah:

A. Suhu panas pada waktu siang dan dirasai hingga ke malam hari. Sudah tentu bil elektrik melambung sebab pemakaian aircond yang berpanjangan ditambah dalam jumlah yang banyak. Bekalan elektrik akan kerap terganggu akibat overload penggunaan elektrik. Pada hari ini, walaupun panas di siang hari, tetapi malamnya mendingin. Ini adalah kerana pada malam kawasan ekuator berada berhampiran kawasan selatan bumi (bukan kutub selatan) akibat kecondongan bumi. Berbeza pada Mac Ekuinok nanti di mana, waktu malam pun masih berada di kawasan khatulistiwa. Kalau diperhatikan pada permukaan jalan raya boleh nampak tar-tar mula membentuk jalur-jalur akibat pencairan.

B. Musim panas kering sering dikaitkan dengan berlakunya kejadian jerebu akibat pembakaran atau kebakaran paya gambut. Pada musim panas kering, paras air bawah tanah akan menyusut. Penyusutan ini di kawasan paya gambut akan menyebabkan gambut kering dan mudah terbakar. Api terbakar jauh dalam tanah, cuma yang keluar adalah asapnya. Sebab itu air dipam ke kawasan kebakaran gambut bagi menaikan paras air bawah tanahnya bagi memadam bara api. Kawasan gambut yang luas seperti di Bachok, Pekan, Dengkil, Klang dan beberapa tempat di Johor berpotensi untuk mengalami kebakaran gambut.

C. Kebakaran di kawasan bukit batu kapur boleh menimbulkan bahaya kepada penduduk di sekitar tebingnya. Bukit batu kapur mempunyai bongkah-bongkah batuan yang longgar yang hanya diikat oleh akar-akar pokok. Jika pokok ini mati akibat kekeringan atau /dan terbakar, bongkah batuan ini boleh jatuh ke tebing. Pernah berlaku jatuhan blok batuan ini di Gua Musang pada beberapa tahun lalu akibat kebakaran bukit batu kapur Gua Neng. Sekarang sedang berlaku kebakaran bukit batu kapur Gunung Baling, Kedah akibat tanglung.

D. Dengan taburan hujan yang kurang, masalah penyusutan paras empangan bekalan air akan berlaku seperti tahun-tahun sebelumnya. Maka catuan bekalan air akan dilaksanakan. Jadi bolehlah berkira-kira untuk beli tong-tong simpanan air.

E. Musim panas kering juga menjadi masalah kepada penghuni rumah yang berdekatan kawasan hutan atau belukar. Haiwan-haiwan reptilia seperti ular dan biawak akan mencari kawasan yang lembap dan gelap, sudah tentunya dalam bilik air dalam rumah. Lebih teruk jika berada dalam mangkuk tandas. Maka berhati-hatilah ketika melepaskan hajat.

F. Bila berlaku penyusutan paras air bawah tanah, kawasan berdekatan kawasan laut akan mengalami masalah pencemaran air laut (salt intrution). Bila air laut pasang, air laut boleh masuk jauh ke hulu sungai dan meresap ke dalam tanah bagi mengantikan atau mengimbangi air tanah yang telah menyusut. Sebab itu ada beberapa kejadian air boring atau air telaga tiub terasa payau atau masin.

Sesuatu yang perlu kita risaukan menjelang penghujung Mac nanti di mana kawasan ekuator akan menerima lebih limpahan cahaya matahari. Keadaan yang sama pada bulan Januari baru-baru ini telah menyebabkan suhu melampau panas sehingga mencecah 46 selsius. Tidak mustahil ia akan berlaku pula di kawasan Ekuator. 

Catatan ini hanya JANGKAAN sahaja berdasarkan situasi baru-baru ini di mana cuaca dan iklim bumi didapati agak ekstrem dengan panas melampau di bahagian hemisfera selatan dan sejuk melampau di kawasan hemisfera utara. Malah tahun 2018 direkodkan sebagai antara tahun terpanas sejak 1880. Kita doakan agar negara kita terhindar daripada kejadian tersebut.

Sunday, February 17, 2019

BAYAN LINNAS SIRI 166: POLEMIK FLAT EARTH: SISI PANDANG ISLAM

BAYAN LINNAS SIRI 166: POLEMIK FLAT EARTH: SISI PANDANG ISLAM

Dipetik pada tarikh 18 Februari 2019 dari

http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/3127-bayan-linnas-siri-166-polemik-flat-earth-sisi-pandang-islam

Mukadimah

Alhamdulillah, kami rafakkan setinggi kesyukuran kepada-Nya, selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi SAW. Begitu juga kepada kaum keluarganya, para sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari Akhirat.

Pertamanya, kami di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada akhir-akhir ini dihujani dengan isu yang sedang menular dikalangan masyarakat terutamanya disampaikan melalui media-media massa berkenaan isu bumi datar (flat earth). Hasil daripada carian kami menerusi media massa, kami melihat isu ini semakin hari semakin menjadi barah dalam kalangan masyarakat.

Perbahasan ini secara langsung dibincangkan oleh masyarakat awam yang sebahagiannya menyokong dan sebahagiannya pula tidak menyokong berkenaan konsep flat earth ini. Ini membuktikan bahawa manusia adalah makhluk ciptaan Allah SWT yang terikat dengan keterbatasan. Kefahaman manusia dalam memahami sesuatu perkara seperti alam sekitar adalah berbeza-beza kerana hanya terhad dengan apa yang disahkan oleh pancaindera terutamanya mata kasar. Namun begitu, perkembangan dan evolusi ilmu sains dan teknologi telah banyak membantu manusia dalam memberi penjelasan yang lebih tuntas bagi kehidupan manusia, bahkan ia juga merupakan penyumbang di dalam sumber rujukan agama seperti penetapan hukum ke atas sesuatu perkara
Justeru, Bayan Linnas pada kali ini menjelaskan berkenaan dengan tajuk Polemik Flat Earth: Sisi Pandang Islam. Semoga pencerahan ini dapat meredakan kefahaman kita semua sehingga menemui satu natijah serta titik kebenaran berkenaan hakikat bentuk sebenar bumi.


Kita Beriman, Bumi Adalah Ciptaan Tuhan

Ini merupakan satu perkara yang tidak dapat dinafikan lagi secara badihi (self-evident) bahawa bumi dan seluruh galaksi ini adalah ciptaan Allah SWT. Hal ini berdasarkan banyak nas, antaranya:
وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ لَيَقُولُنَّ اللَّـهُ

Maksudnya: Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang mencipta langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah".

Surah al-Zumar (38)

Syeikh al-Maraghi berkata: Sebenarnya orang musyrik itu mengakui adanya Tuhan Yang Maha Mengetahui dan Bijaksana, kerana buktinya sangat jelas dan terang. Buktinya, apabila mereka ditanya, “Siapa yang mencipta bumi dan langit,” Dengan spontan mereka menjawab, “Allah yang telah menciptakan.” Sebaliknya mereka tetap menyembah selain daripada Allah SWT dan di sinilah kejahilan serta kedunguan mereka. Padahal mereka memang terkenal bijak dan berfikiran cerdas. Mereka tidak mahu mengikut akal mereka yang sihat tetapi hanya mengikut hawa nafsu mereka.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 12/5898)


Ciptaan Langit dan Bumi Menjadi Tanda Bagi Yang Berilmu

Allah SWT berfirman:
إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآيَاتٍ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ

Maksudnya: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;

Surah Ali Imran (190)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Dimaksudkan dengan orang yang berakal ialah mereka yang menggunakan akal fikiran, cekap mengambil manfaat, mengikut petunjuk dan merenungkan segala kebesaran Allah SWT, mengingatkan tentang kebijaksanaan-Nya, rahmat-Nya, keagungan nikmat-Nya dalam segala keadaannya, sama ada ketika dia berdiri, duduk atau berbaring. Kesimpulannya, sepanjang menjalani kehidupan, mereka tidak pernah lupa kepada Allah SWT, malahan mereka sering mengingati Allah SWT dengan hati yang terang dan menyedari sepenuhnya bahawa Allah SWT sentiasa mengawasi dirinya. (Lihat Tafsir al-Maraghi,2/1056)
Kedua-dua ayat al-Qur’an ini memberi kita satu kefahaman bahawa penciptaan bumi dan seisinya adalah untuk manusia berfikir tentang kekuasaan-Nya, rahmat-Nya dan keagungan-Nya. Bumi bukan hanya wujud secara tiba-tiba tanpa pencipta dan tujuannya.


Bumi Sebagai al-Ardh

Ibn Manzur berkata al-ardh (الأَرْض) adalah tempat tinggal manusia dalam bentuk feminin (أُنثى) yang merupakan kata nama kolektif yang merujuk kepada kelas (اسم جنس). (Lihat Lisan al-Arab, 7/11). Di dalam al-Qamus al-Muhit, (m. 820) disebut: Al-Ardh (الأرضُ) adalah feminin (مؤنث), kata nama kolektif yang merujuk kepada kelas (اسم جنس) atau himpunan yang bukan satu. Justeru, tidak dinamakan ardhah (أرْضَةٌ). Perkataan al-Ardh(الأرضُ) ini memberi makna:
Setiap yang bawah seperti di bawah tapak kaki haiwan.

Ia juga memberi makna perkampungan seperti kita katakan ardhu Nuh (أرضُ نُوحٍ) iaitu sebuah perkampungan yang terletak di Bahrain.

Apabila kita sebut seseorang itu dengan Ibnu Ardhin (ابنُ أرْضٍ), ia memberi makna orang asing.

Begitu juga Ibnu Ardhin (ابنُ أرْضٍ), ia memberi maksud tumbuhan seperti bulu yang dimakan.

Kami cenderung untuk berpandangan bahawa kekeliruan golongan penyokong flat earth yang beragama Islam adalah salah faham dalam memaham kalimah al-ardh. Apabila Allah SWT menyebutkan al-ardh, ianya menunjukkan kepada tanah tempat kita berpijak yang kita lihat disekeliling kita. Ianya tidak merujuk kepada planet bumi seperti yang difahami oleh mereka. Hal ini juga bertepatan dengan kaedah memahami al-Qur'an seperti yang digariskan oleh Imam Ibn Kathir dalam mukadimah tafsirnya. (Lihat Tafsir al-Qur'an al-'Azim, m. 4-5)


Kondisi Bumi Dalam al-Qur’an

Kami dapati, Allah SWT menyebut tentang bumi dengan beberapa sebutan sebagai sifat atau gambaran. Terdapat beberapa perkataan yang digandingkan dengan bumi seperti “kami hamparkan” (Surah al-Hijr: 19), “hamparan/bentangan (Surah al-Naba’: 6, Surah al-Baqarah: 22, Surah Nuh: 19, Surah al-Nazi’at: 30) dan “dihamparkan”(Surah al-Ghasyiah: 20).
Allah SWT berfirman:
الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ فِرَاشًا وَالسَّمَاءَ بِنَاءً

Maksudnya: Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya);

Surah al-Baqarah (22)

Allah SWT berfirman:
وَالْأَرْضَ مَدَدْنَاهَا وَأَلْقَيْنَا فِيهَا رَوَاسِيَ وَأَنبَتْنَا فِيهَا مِن كُلِّ شَيْءٍ مَّوْزُونٍ

Maksudnya: Dan bumi ini Kami bentangkan, dan Kami letakkan padanya gunung-ganang yang kukuh terdiri, serta Kami tumbuhkan padanya tiap-tiap sesuatu yang tertentu timbangannya.

Surah al-Hijr (19)

Allah SWT berfirman:
وَهُوَ الَّذِي مَدَّ الْأَرْضَ وَجَعَلَ فِيهَا رَوَاسِيَ وَأَنْهَارًا

Maksudnya: Dan Dia lah yang menjadikan bumi terbentang luas, dan menjadikan padanya gunung-ganang (terdiri kukuh) serta sungai-sungai (yang mengalir).

Surah al-Ra’d (3)

Allah SWT berfirman:
وَالْأَرْضَ بَعْدَ ذَٰلِكَ دَحَاهَا ﴿٣٠﴾ أَخْرَجَ مِنْهَا مَاءَهَا وَمَرْعَاهَا

Maksudnya: Dan bumi sesudah itu dihamparkannya (untuk kemudahan penduduknya), - Ia mengeluarkan dari bumi itu: airnya dan tumbuh-tumbuhannya;

Surah al-Nazi’at (30-31)

Allah SWT berfirman:
وَإِلَى الْأَرْضِ كَيْفَ سُطِحَتْ

Maksudnya: Dan keadaan bumi bagaimana ia dihamparkan?

Surah al-Ghasyiyah (20)

Adakah hamparan atau bentangan itu semestinya bermaksud datar dan rata?
Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa’di mentafsirkan (وَالْأَرْضَ مَدَدْنَاهَا) dengan maksud: Kami luaskan (lapangkan) bumi dengan seluas-luasnya agar manusia dan haiwan-haiwan seluruhnya dapat berjalan sampai ke segenap pelosok dan mencari rezeki-rezekinya, dan dapat tinggal di sudut-sudutnya.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, hlm. 1/347)
Apabila kita meneliti kalimah (دَحَاهَا) pula, para salafussoleh terbahagi kepada dua kumpulan:
Qatadah, al-Suddi dan Sufyan al-Thauri memahaminya dengan maksud menghamparkan.

Ibn ‘Abbas, Ibn Juraij dan Ibn Zaid memahaminya dengan maksud mengeluarkan air dan ternakan hasil bumi. (Lihat al-I’jaz al-‘Ilmi: Ila Aina?, 120-121)

Menurut Syeikh Ibn 'Asyur ketika mentafsirkan kalimah ( بِسَاطًا) dalam Surah Nuh ayat 19:

Kalimah al-bisat bermaksud apa yang dibentang di atasnya untuk tidur dan duduk daripada pakaian atau permaidani. Perkhabaran bahawa bumi bersifat seperti hamparan adalah merupakan satu penyerupaan dalam ilmu balaghah, iaitu seperti hamparan. Sifat yang menjadi letak kesamaan (wajh syabah) bersesuaian dengan langit di setiap bahagiannya, tidak meletihkan kaki orang yang berjalan dan tidak pula melenguhkan lambung orang yang berbaring. Ia tidak bermaksud Allah menjadikan bentuk bumi ini seperti datar, kerana bentuk bumi ini adalah sfera. Ia ditegaskan dengan sebab yang nyata dalam ayat ini iaitu kalimah untuk kamu (لَكُمُ). Dan ia sesuai dengan sebab yang tidak disebut iaitu supaya kamu supaya kamu dapat berjalan. Kedua-dua sebab ini adalah petunjuk kepada nikmat-nikmat yang diperolehi oleh manusia daripada langit ke atas bumi seperti haiwan ternakan dan tanam-tanaman, sehinggalah kepada nikmat yang khusus iaitu dapat berjalan di bumi.

Justeru, perkataan-perkataan yang difahami sebagai datar, rata dan lain-lain yang semakna dengannya tidak boleh difahami hanya dengan literal semata-mata kerana ia mempunyai maksud yang tersendiri.

Pendapat Ulama’ Tafsir Berkenaan Bulatnya Bumi

Para ulama’ telah bersetuju bahawa sifat bumi adalah bulat. Adapun kebulatannya bukanlah dalam erti kata bulat keseluruhan tetapi boleh jadi bulat yang berbentuk sfera atau bulat seperti sebiji telur. Ini semua boleh dilihat menerusi penemuan moden.
Kami nukilkan di sini pendapat beberapa tokoh tafsir berkenaan dengan sifat bulatnya bumi. Antaranya:
Imam Fakhruddin al-Razi berkata:

“Bahawa telah sabit dengan dalil-dalil bahawa bumi adalah sfera, maka bagaimana (seseorang itu masih) boleh mukabarah (degil tidak mahu menerima kebenaran) dalam hal ini?" (Lihat Tafsir Mafatih al-Ghaib, 19/5) 
Abu Hayyan al-Andalusi menukilkan kenyataan Abu Abdillah al-Darani yang berkata:

" Telah thabit dengan dalil bahawa bumi adalah bulat (sfera). Dan ini tidak bercanggah dengan firman Allah SWT: (مَدُّ الأَرْضِ) “bumi terbentang”. Ini kerana sesungguhnya bumi adalah suatu jisim yang besar. Dan (sememangnya) bentuk bulat (sfera) jika terlalu besar, maka suatu bahagian daripadanya akan kelihatan seperti rata terhampar". (Lihat al-Bahr al-Muhit, 6/346)
Syeikh Muhammad al-Amin bin Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti

Semasa mentafsirkan Surah al-Nazi’at ayat 30-31, guru kami Syeikh Muhammad al-Amin bin Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti menekankan keperluan untuk merujuk kepada pakar astronomi dalam kalangan umat Islam, yang bersepakat menyatakan bahawa bentuk bumi ini adalah bulat atau sfera. (Lihat Adwa’ al-Bayan, 8/425)
Syeikh Ibn ‘Asyur

Berkata Ibn ‘Asyur dalam mentafsirkan kalimah (يُكَوِّرُ) dalam Surah al-Zumar ayat 5:
Al-Takwir bermaksud menggulung dan melingkar. Dikatakan kawwara al-‘Imamah dengan maksud menggulung dan melilit serban. Diumpamakan takwir di sini dengan fenomena pertukaran siang ke malam pada satu bahagian di permukaan bumi, dan sebaliknya, secara bergilir seperti perbuatan melilit serban, iaitu pertukaran malam berlaku ke atas pertukaran malam yang sebelumnya. Ini merupakan satu analogi yang unik dan boleh diterima, bahawa bumi itu ibarat bentuk kepala. Dan dianalogikan pertukaran siang dan malam ke atas bumi itu, ibarat pergerakan lilitan serban ke atas kepala yang bulat. Ini juga merupakan sebahagian daripada mu‘jizat saintifik al-Qur’ān. Kalimat takwir merujuk juga kepada kurrah yang bermaksud sfera, iaitu objek yang berbentuk bulat yang sama tiap penghujungnya. Justeru bumi ini adalah sfera. Fakta ini tidak diketahui oleh bangsa Arab dan manusia, sehinggalah al-Qur’ān memberikan isyarat dengan dua elemen, iaitu pertukaran secara giliran iaitu gelap kepada terang atau malam kepada siang.” (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir: 23/238)
Syeikh Abd al-Rahman al-Sa’di

Beliau berkata: Ketahuilah bahawa hamparan yang dimaksudkan (di sini) tidaklah menafikan bulatnya bumi itu bulat (sfera) yang dilingkupi dan dikelilingi oleh pelbagai bintang-bintang dari pelbagai sisi-sisinya sebagaimana yang ditunjukkan oleh dalil naqli, akal, pancaindera dan kesaksian, yakni sebagaimana yang makruf disebutkan kebanyakan manusia khasnya pada zaman ini di mana ramai orang mampu mencapai pelbagai penjuru-penjuru wilayah yang jauh dengan pelbagai alat-alatan yang diberikan oleh Allah yang menjadi sebab untuk mendekatkan yang jauh. Kerana suatu hamparan hanyalah menafikan suatu jisim berbentuk bulat yang kecil, yang mana kalau dibentangkan tidak lagi berbentuk bulat. Adapun bentuk bumi, ianya amat besar dan luas. Maka menjadilah bentuk bumi itu dalam keadaan bulat (sfera) yang terhampar, dan tidak pula menafikan satu sama lain sebagaimana yang diketahui dari pengalaman para ahlinya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 2/211-212)

Pendapat Ulama’ Berkenaan Bentuk Bumi
Selain daripada ulama’ tafsir yang membicarakan isu ini, kami juga mengkaji tokoh-tokoh ulama’ terdahulu dengan pendapat mereka. Antaranya:
Ibnu Hazm al-Zahiri

“Mereka berkata: Sesungguhnya bukti-bukti telah mengesahkan bahawa bumi adalah bulat, sedangkan masyarakat awam mengatakan sebaliknya. Dan jawapan kami (taufiq hanya daripada Allah): Sesungguhnya seorang daripada imam-imam para muslimin yang berkelayakan untuk digelar imam dalam ilmu (semoga Allah meredai mereka) tidak mengingkari bulatnya bumi. Dan tidak dihafaz (tidak dijumpai suatu nas atau nukilan) satu kalimah pun daripada salah seorang daripada mereka dalam menolak perkara tersebut. Bahkan bukti-bukti daripada al-Quran dan Sunnah telah datang membuktikan bulatnya bumi.” (Lihat al-Fasl fi al-Milal wa al-Ahwa' wa al-Nihal, 2/78)
Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah

Pendapat bumi bulat telah dinukilkan oleh Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah daripada Abi al-Husain al-Munadi yang berkata: "Ulama' ijma' bahawa bumi ini dengan semua pergerakannya sama ada di laut atau di darat seperti bulatan.” (Lihat Majmu' al-Fatawa, 25/195)
Kata beliau lagi dalam kitabnya (5/150): "Ketahuilah bahawasanya mereka (para ulama) telah bersepakat mengatakan bahawa sesungguhnya bumi berbentuk sfera.”
Muhammad ibn Ahmad Syams al-Din al-Maqdisi

“Adapun bumi, maka sesungguhnya ia adalah seperti bola (sfera) yang terletak di tengah falak, sama seperti putih telur yang terletak di dalam telur. (Lihat Ahsanul Taqasim fi Ma'rifah al-Aqalim,1/58)
Ibn Khardazabah

Abu al-Qasim Ubadililah bin Abdillah yang lebih dikenali dengan nama Ibn Khardazabah berkata: “Sifat bumi adalah bulat seperti kebulatan bola atau guli. Terletak di rongga falak sama seperti putih telur yang terletak di dalam telur.” (Lihat al-Masalik wa al-Mamalik, hlm. 4)
Ahmad bin Yahya bin Fadhl al-'Umari Syihab al-Din

Beliau menukilkan daripada al-Syarif al-Idrisi dalam muqaddimah kitabnya, Masalik al-Absar fi Mamalik al-Amsar: "Kata al-Syarif (al-Idrisi): walaupun bumi adalah sfera, namun ia tidaklah benar-benar bulat (maksudnya bujur sedikit)"
Abu Bakr bin Yahya al-Suli

Ibn Khallikan menyebut di dalam kitabnya bahawa Abu Bakr bin Yahya al-Suli berkata: "Maka sesungguhnya, bulatnya bentuk bumi adalah perkara yang maklum mengikut kaedah geometri. Ia sejarak 8000 farsakh. Jika kita letakkan hujung tali di atas mana-mana tempat di bumi, dan kita lilitkannya di atas bumi, kita akan akhiri hujung tali yang kedua di tempat yang sama dan akan bertemulah kedua-dua hujung tali tersebut". (Lihat Wafayat al-A'yan, 4/359)
Abu al-Faraj Ibn al-Jawzi Rahimahullah

Beliau berkata: "Dan begitu juga mereka ijma’ mengatakan bahawa bumi dengan semua jirimnya daripada air beku adalah seperti bulatan (sfera).(Lihat al-Muntazam fi Tarikh al-Muluk wa al-Umam, 1/184)
Imam Syams al-Din al-Zahabi

Katanya: “Bumi di tengah langit adalah seumpama tembikai dalam rongga tembikai, dan langit meliputi bumi dari segenap arah.” Beliau kemudiannya berkata: "Dan bukti perkara tersebut ialah: jika kita andaikan seorang musafir bermusafir di atas bulatnya bumi, daripada timur ke barat, dan (kemudian) dia meneruskan lagi perjalanan, maka pastilah dia akan berjalan ke arah tempat di mana dia mulakan perjalanan.”(Lihat Mukhtasar al-'Uluw li' al-'Aliy al-Ghaffar oleh al-Zahabi, hlm. 74-76)


Pendapat Mufti Wilayah Persekutuan

Kami tegaskan di sini bahawa sifat bumi adalah bulat seperti perbahasan di atas. Antara hujah yang menunjukkan kebulatan bumi berdasarkan firman Allah SWT:
يُكَوِّرُ اللَّيْلَ عَلَى النَّهَارِ وَيُكَوِّرُ النَّهَارَ عَلَى اللَّيْلِ

Maksudnya: Ia pula menjadikan malam melingkari siang (dengan gelapnya), dan menjadikan siang melingkari malam (dengan cahayanya);

Surah al-Zumar (5)

Syeikh al-Maraghi berkata: Bukankah telah kita ketahui, bahawa bumi ini berbentuk bulat berputar di atas paksinya (orbit). Akibat orbit bumi ini, sudah tentu bahagian bumi yang menghadap matahari mengalami siang. Manakala siang bergerak dari sebelah timur ke barat dengan menuju ke daerah-daerah yang tadinya mengalami malam. Begitulah seterusnya seperti seseorang mengilas kainnya. Begitu juga dengan waktu, iaitu bergerak seperti berlakunya siang tadi. Oleh itu, antara siang dan malam itu saling melengkapi secara gantian. Ayat di atas mengandungi petunjuk, iaitu bumi ini adalah bulat dan kedua-duanya menyatakan bahawa bumi ini berputar di atas paksinya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 12/5863)
Imam al-Raghib al-Asfahani berkata: Perkataan “ كَوْرُ الشيءِ” adalah melingkari sesuatu, atau penggabungan di antara hujung sesuatu kepada hujung yang lain, seperti "كور العمامة" lingkaran atau gulungan serban (yang melingkari dan membungkus kepala). Dan firman-Nya " يُكَوِّرُ اللَّيْلَ عَلَى النَّهَارِ وَيُكَوِّرُ النَّهَارَ عَلَى اللَّيْلِ" (Ia pula menjadikan malam melingkari siang (dengan gelapnya), dan menjadikan siang melingkari malam (dengan cahayanya), maka ini adalah isyarat akan peredaran matahari pada mathla'nya (pada tempat terbit dan terbenamnya, serta orbit/falak edarannya), dan isyarat pada berkurang atau bertambahnya malam dan siang. (Lihat al-Mufradat fi Gharib al-Quran, hlm. 729)
Imam Ibn Hazm pula berkata: Ayat ini adalah penerangan yang paling jelas (bahawa siang dan malam) digulung sebahagian atas sebahagian yang lain. Diambil daripada (perkataan yang semakna, yakni) menggulung serban, ia menggulung dengan cara dibungkus mengelilinginya. Maka ini adalah nas yang menunjukkan bulatnya bumi dan berputar serta matahari berpusing. (Lihat al-Fasl fi al-Milal wa al-Ahwa wa al-Nihal, 2/78)
Bahkan dinyatakan oleh Abd al-Qahir al-Baghdadi: “Mereka berijma' bahawa bumi penghujungnya daripada semua penjuru akan bertemu pada titik yang sama.” (Lihat al-Farqu baina al-Firaq, hlm. 318)
Ini disahkan lagi oleh kenyataan angkasawan negara Dato' Dr. Sheikh Muszaphar Shukor yang menyatakan “Bumi berbentuk sfera atau lebih tepat, berbentuk geosfera. Tidak seperti bola tetapi seakan-akan bentuk telur.”[1]
Justeru, kami nyatakan bahawa penafian sifat bulatnya bumi adalah pendapat yang tersilap sementelahan lagi ia bertentangan dengan ijma' yang tidak boleh dibangkangnya.


Penutup

Alhamdulillah, setelah kami menelaah beberapa kitab dalam masa beberapa hari ini, makanya kami mendapati ulama silam telah lama membahaskan isu ini. Bahkan sebahagian mereka telah membincangkan isu ini lebih dari seribu tahun. Justeru kefahaman kami menunjukkan Islam telah memimpin dunia dari sudut keilmuan dan makrifah alam jauh mendahului mana-mana negara yang hebat di muka bumi hatta empayar Parsi, Rom, Mesir Kuno, Ethopia, India, China dan Greek.
Keterbatasan pancaindera kita membuatkan kita tidak mampu untuk memahami ayat ini hanya dengan merujuk teks atau terjemahan semata-mata tanpa melihat tafsiran para ulama’ dan juga fakta-fakta dari sudut ilmu falak dan astronomi. Apatah lagi berhujah semata-mata dengan apa yang kita lihat di hadapan mata kita yang sudah tentu sangat jelas keterbatasannya.

Pancaindera semata-mata tidak akan mampu membantu kita menggapai kebenaran. Lihatlah kritikan al-Ghazali kepada golongan yang hanya berpegang kepada ilmu melalui pancaindera untuk mencapai kebenaran. Beliau mengarahkan untuk melihat bintang-bintang di langit yang mungkin sangat kecil seperti syiling dinar dengan pandangan mata. Tetapi, dengan panduan daripada pengiraan geometri membuktikan bahawa kebenaran tidak cukup dicapai hanya dengan pancaindera dan pada hakikatnya, ia lebih besar daripada bumi. (Lihat al-Munqiz min al-Dhalal, 112-113). Hujah ini sahaja sudah cukup untuk membuktikan bahawa dalam isu ini, kemampuan pancaindera kita adalah terbatas dan amat memerlukan kepada teknologi di sampai panduan utama daripada wahyu.
Kami nukilkan satu pandangan yang tuntas daripada almarhum Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi yang berkata dalam menafsirkan ayat 5 dari Surah al-Zumar:
يُكَوِّرُ اللَّيْلَ عَلَى النَّهَارِ وَيُكَوِّرُ النَّهَارَ عَلَى اللَّيْلِ

Maksudnya: Ia pula menjadikan malam melingkari siang (dengan gelapnya), dan menjadikan siang melingkari malam (dengan cahayanya);

Surah al-Zumar (5)

Syeikh Sya'rawi berkata: Rasulullah SAW mengetahui rahsia kurniaan Quran tidak akan terhenti. Justeru, beliau tidaklah menafsirkan keseluruhannya. Bahkan beliau menjelaskan mengikut kadar kemampuan akal semasa supaya mereka tidak berpaling daripada agama. Kalaulah ayat al-Quran mengungkapkan ketika itu bahawa bumi bersifat bulat dan mengelilingi matahari, adakah seseorang boleh mempercayainya? Sedangkan sehingga sekarang, masih ada yang mengingkarinya. Justeru, kami dapati Quran menggunakan isyarat bahasa yang amat ringan sehinggalah dapat meluaskan akal untuknya lantas Allah berfirman dengan ayat ini. Oleh kerana malam datang di belakang siang hari dan siang datang selepas malam, maka ia menjadi bukti sifat bumi seperti bulatan. (Lihat Tafsir al-Sya'rawi, 6/3785)
Marilah sama-sama kita menginsafi untuk meyakini betapa bumi sebagai tempat tinggal manusia hendaklah diiisi dengan acara ibadat, ketaatan dan kepatuhan kepada Allah, pada saat yang sama menjauhkan daripada perdebatan yang boleh membawa pertelingkahan serta perkataan nista sesama sendiri.
Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah semoga kita sentiasa diberi taufiq dan hidayah serta petunjuk dalam mencari kebenaran dan kami tutup dengan doa ini:
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقَّا وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ

Maksudnya: Ya Allah! Tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikanlah kami jalan untuk mengikutinya, dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami jalan untuk menjauhinya.

_______________________

Thursday, February 14, 2019

Cuaca Panas Ekstrem Di Seluruh Australia Tahun 2018


Cuaca Panas Ekstrem Di Seluruh Australia Tahun 2018.

Cuaca Panas Ekstrem di Seluruh Australia Capai 45 Derajat Celsius.

Musim panas penghujung tahun 2018 Australia dilanda cuaca panas ekstrem yang suhunya mencapai 45 darjah Celsius.

Berdasarkan data dari Met Office, pada Desember 2018 suhu di Australia akan mencapai 49 derajat Celsius.

Met Office juga menyatakan bahawa kenaikan suhu ekstrem ini akan berlangsung dalam beberapa hari ke depan.


Sejak Khamis (27/12/2018), Bureau of Meteorology mengungkapkan bahwa kondisi gelombang panas yang ekstrem telah memengaruhi negara tersebut, terutama di beberapa wilayah dengan titik panas tinggi seperti Australia Barat, Australia Selatan, wilayah utara Australia, New South Wales, timur laut Tasmania, dan pedalaman Victoria.


Sementara, untuk wilayah Queensland pula intensiti panas adalah rendah.


Sementara, ABC menyatakan bahwa sebahagian besar wilayah tenggara Australia mengalami kenaikan suhu sebesar 10-14 darjah Celsius berbanding suhu normal.

Terdapat beberapa warga Australia menyatakan rasa panas berbanding keadaan musim panas sebelum ini di media sosial.

Ini bukan satu-satunya peristiwa panas ekstrem yang pernah dialami Australia akhir-akhir ini. Pada Januari-Februari 2017, ada tiga gelombang panas terik dikesan di sebahagian besar tenggara Australia.

Sementara itu, ada juga kedai yang tutup sementara karana cuaca ekstrem ini.


Sunday, February 10, 2019

2018 Merupakan Tahun Keempat Terpanas Bumi



Laporan terbaru daripada World Meteorological Organization ( WMO ) menunjukkan tahun 2018 merupakan tahun keempat terpanas Bumi sejak rekod dicatatkan bermula 1850 . . .

Suhu purata sejagat bagi tahun 2018 menghampir 1°C  di atas pre-industrial baseline (1850-1900) . .

..

Tahun terpanas adalah pada 2016 , diikuti tahun 2015 dan 2017 .

Baca :

https://public.wmo.int/en/media/press-release/wmo-confirms-past-4-years-were-warmest-record

TINJAUAN CUACA PADA BULAN FEBRUARI DAN MAC 2019

TINJAUAN CUACA PADA BULAN FEBRUARI DAN MAC 2019 .
..
Merujuk Jabatan Meteorologi Malaysia ,
Sepanjang tempoh Februari 2019 ini , kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia dijangka akan menerima cuaca yang agak kering dengan jumlah taburan hujan yang kurang daripada 150mm.
Negeri Perlis, selatan Terengganu, Pahang, Selangor,Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor dijangka akan menerima jumlah hujan bulanan yang sedikit berkurangan berbanding purata hujan jangka panjang.
Di negeri Sarawak, Kuching dan Samarahan dijangka menerima hujan sedikit melebihi paras purata di antara 600mm hingga 700mm. Manakala kawasan lain di Sarawak dijangka menerima curahan hujan pada paras purata di antara 200mm hingga 350mm kecuali Miri yang dijangka menerima hujan kurang daripada 200mm.
Bagi negeri Sabah,
kebanyakan kawasan dijangka menerima hujan sedikit kurang berbanding paras purata. Kudat dijangka menerima jumlah hujan sekitar 100mm hingga 150mm. Manakala Sandakan dijangka akan menerima jumlah hujan di antara 150mm hingga 200mm. Sementara itu, Tawau, Pedalaman,Pantai Barat, serta Wilayah Persekutuan Labuan pula dijangka menerima hujan kurang daripada 100mm.
..
..
Seterusnya ,
Pada Bulan Mac 2019 pula ,
Negara kita akan memasuki fasa akhir Monsun Timur Laut .
Lazimnya,
kebanyakan kawasan kurang menerima hujan semasa penghujung Monsun Timur
Laut.
kebanyakan tempat di Semenanjung Malaysia dijangka
menerima jumlah hujan pada paras purata.
Negeri-negeri di Pantai Barat Semenanjung dijangka menerima jumlah hujan di antara 100mm hingga 350mm. Manakala negeri-negeri lain dijangka menerima jumlah hujan kurang daripada 250mm.
Sementara itu, kebanyakan kawasan di negeri Sabah masih lagi dijangka menerima jumlah taburan hujan yang kurang berbanding purata bulanan iaitu di antara 50mm hingga 150mm.
Di negeri Sarawak,
Kuching dan Samarahan masih lagi dijangka menerima jumlah hujan sedikit melebihi paras purata bulanan iaitu sekitar 400mm hingga 450mm. Manakala Pedalaman Sarawak juga dijangka akan menerima jumlah hujan bulanan sehingga mencecah 450mm namun masih berada pada paras purata. Miri dijangka menerima hujan pada paras purata di antara 100mm hingga 150mm. Lain-lain kawasan di Sarawak dijangka menerima hujan pada paras purata di antara 200mm hingga 350mm.
..
Info tambahan :
Tempoh peralihan monsun bagi negara lazimnya akan berlaku pada bulan April sehingga ke pertengahan bulan Mei.
Sepanjang tempoh ini, keadaan atmosfera adalah tidak stabil serta kelajuan angin adalah lemah dan muncul dari pelbagai arah.
Keadaan ini boleh meningkatkan aktiviti perolakan. Kejadian ribut petir boleh berlaku di kebanyakan negeri di sebelah Pantai Barat dan Pedalaman Semenanjung Malaysia, Pantai Barat Sabah serta kawasan barat dan tengah Sarawak.
..
Tinjauan cuaca ini adalah
berdasarkan hasil konsensus ahli-ahli meteorologi melalui perbincangan dan penganalisaan model - model tinjauan iklim terpilih seperti NCEP coupled forecast
system model version 2 (CFSv2)
, JMA Ensemble Prediction System (Tokyo Climate Centre) , European Centre for Medium Range Weather Forecast (ECMWF) dan Seasonal Climate Forecast , International Research Institute for Climate Society (IRI).
Fenomena global yang mempengaruhi keadaan cuaca semasa seperti El-Niňo Southern Oscillation (ENSO), Madden-Julian Oscillation (MJO) dan Indian Ocean Dipole (IOD) juga turut diambil kira dalam membuat jangkaan tinjauan cuaca ini.

Thursday, February 7, 2019

Ilmu Falak


Ilmu Falak

Ilmu Falak adalah ilmu yang mempelajari lintasan benda-benda langit, khususnya bulan, matahari dan bintang pada orbitnya masing-masing dengan tujuan untuk mengetahui posisi benda langit antara satu dengan lainnya, supaya dapat diketahui waktu-waktu di permukaan bumi.

Ilmu Falak disebut juga ilmu hisab, karana ilmu ini menggunakan perhitungan ( الحساب = perhitungan). Ilmu Falak disebut juga ilmu rashd, karana ilmu ini memerlukan pengamatan ( الرصد = pengamatan). Ilmu Falak disebut juga ilmu miqat, karena ilmu ini mempelajari tentang batas-batas waktu ( الميقات = batas-batas waktu). Ilmu Falak disebut juga ilmu haiah, karana ilmu ini mempelajari keadaan benda-benda langit ( الهيئة = keadaan).