Kesan Panas Melampau Akibat Perubahan Cuaca
Antara kesan kepanasan yang mungkin akan timbul termasuklah:
A. Suhu panas pada waktu siang dan dirasai hingga ke malam hari. Sudah tentu bil elektrik melambung sebab pemakaian aircond yang berpanjangan ditambah dalam jumlah yang banyak. Bekalan elektrik akan kerap terganggu akibat overload penggunaan elektrik. Pada hari ini, walaupun panas di siang hari, tetapi malamnya mendingin. Ini adalah kerana pada malam kawasan ekuator berada berhampiran kawasan selatan bumi (bukan kutub selatan) akibat kecondongan bumi. Berbeza pada Mac Ekuinok nanti di mana, waktu malam pun masih berada di kawasan khatulistiwa. Kalau diperhatikan pada permukaan jalan raya boleh nampak tar-tar mula membentuk jalur-jalur akibat pencairan.
B. Musim panas kering sering dikaitkan dengan berlakunya kejadian jerebu akibat pembakaran atau kebakaran paya gambut. Pada musim panas kering, paras air bawah tanah akan menyusut. Penyusutan ini di kawasan paya gambut akan menyebabkan gambut kering dan mudah terbakar. Api terbakar jauh dalam tanah, cuma yang keluar adalah asapnya. Sebab itu air dipam ke kawasan kebakaran gambut bagi menaikan paras air bawah tanahnya bagi memadam bara api. Kawasan gambut yang luas seperti di Bachok, Pekan, Dengkil, Klang dan beberapa tempat di Johor berpotensi untuk mengalami kebakaran gambut.
C. Kebakaran di kawasan bukit batu kapur boleh menimbulkan bahaya kepada penduduk di sekitar tebingnya. Bukit batu kapur mempunyai bongkah-bongkah batuan yang longgar yang hanya diikat oleh akar-akar pokok. Jika pokok ini mati akibat kekeringan atau /dan terbakar, bongkah batuan ini boleh jatuh ke tebing. Pernah berlaku jatuhan blok batuan ini di Gua Musang pada beberapa tahun lalu akibat kebakaran bukit batu kapur Gua Neng. Sekarang sedang berlaku kebakaran bukit batu kapur Gunung Baling, Kedah akibat tanglung.
D. Dengan taburan hujan yang kurang, masalah penyusutan paras empangan bekalan air akan berlaku seperti tahun-tahun sebelumnya. Maka catuan bekalan air akan dilaksanakan. Jadi bolehlah berkira-kira untuk beli tong-tong simpanan air.
E. Musim panas kering juga menjadi masalah kepada penghuni rumah yang berdekatan kawasan hutan atau belukar. Haiwan-haiwan reptilia seperti ular dan biawak akan mencari kawasan yang lembap dan gelap, sudah tentunya dalam bilik air dalam rumah. Lebih teruk jika berada dalam mangkuk tandas. Maka berhati-hatilah ketika melepaskan hajat.
F. Bila berlaku penyusutan paras air bawah tanah, kawasan berdekatan kawasan laut akan mengalami masalah pencemaran air laut (salt intrution). Bila air laut pasang, air laut boleh masuk jauh ke hulu sungai dan meresap ke dalam tanah bagi mengantikan atau mengimbangi air tanah yang telah menyusut. Sebab itu ada beberapa kejadian air boring atau air telaga tiub terasa payau atau masin.
Sesuatu yang perlu kita risaukan menjelang penghujung Mac nanti di mana kawasan ekuator akan menerima lebih limpahan cahaya matahari. Keadaan yang sama pada bulan Januari baru-baru ini telah menyebabkan suhu melampau panas sehingga mencecah 46 selsius. Tidak mustahil ia akan berlaku pula di kawasan Ekuator.
Catatan ini hanya JANGKAAN sahaja berdasarkan situasi baru-baru ini di mana cuaca dan iklim bumi didapati agak ekstrem dengan panas melampau di bahagian hemisfera selatan dan sejuk melampau di kawasan hemisfera utara. Malah tahun 2018 direkodkan sebagai antara tahun terpanas sejak 1880. Kita doakan agar negara kita terhindar daripada kejadian tersebut.